Wednesday, April 7, 2010

Pernah dilanda simptom falasi????

Anda pernah dilanda simptom falasi?

Falasi ini juga masalah pemikiran manusia. Ia bukan penyakit. Anda tidak akan dirawat di hospital dengan simptom ini. Melainkan kalau falasi anda teruk sangat.

Misalnya begini, jika A, tentu akan B.
'Kalau abang balik lambat, tentu abang ada perempuan lain di luar', kata isteri. Ini adalah bentuk-bentuk falasi. Orang akan akan cuba menghubungkan satu-satu kejadian dengan kejadian yang lain. Kadang-kadang ia ada kaitan, tetapi dalam banyak hal ia adalah dua perkara berlainan.

'Dia pandai berucap, tentu ia seorang pemimpin yang bijak",kata penyokong parti Ayam. Ini juga bentuk falasi yang biasa berlaku. Kita mengaitkan sesuatu perkara dengan perkara yang tidak relevan. Pandai berucap tidak semestinya seseorang itu bijak. Ia hal yang tidak ada kena mengena. Dia mungkin pandai berucap sebab banyak berlatih, atau itulah sahaja kebijaksanaan yang dia ada. Sebab itu jangan mudah tergoda dengan ucapan-ucapan hebat. Analisis dahulu perkara apa yang menjadi hujah dalam ucapannya.

Sebab itu, apabila kita menelefon seseorang yang tidak pernah ditemui (misalnya perempuan operator telefon khidmat pengguna), apabila mendengar suaranya yang merdu, kita mula berfikir orang itu tentu cantik dan belum berkahwin. Ia belum tentu. Banyak penyanyi wanita Malaysia yang tidaklah cantik sangat, tetapi suara mereka juga merdu.

Ada pula yang berfalasi begini, jika A, tentu akan B. Kalau bukan A, tentu bukan B.
'Dia peramah, dia tentu seorang yang baik'. "Dia pendiam, tentu dia sombong'. Ini hal yang kerap berlaku apabila kita pertama kali berjumpa dengan seseorang. Kita mungkin terlupa, 'buaya darat' juga peramah. Tetapi mereka bukan orang baik. Merekalah yang banyak mengekspot gadis-gadis tempatan ke Singapura, Hong Kong dan Thailand. Dan juga orang yang pendiam, tidak semestinya dia sombong.

Seperti juga 'dia masuk universiti, tentu dia tahu semua'. Ini juga falasi lazim. Siapa kata yang belajar di universiti tahu semua? Banyak orang yang masuk universiti mungkin tahu sedikit sahaja. Itu pun bidang yang dia belajar. Tetapi menjadi masalah, graduan universiti dalam bidang Kejuruteraan misalnya akan ditanya juga hal-hal matematik dan banyak perkara lain. Dia mungkin tahu, tetapi jangan anggap dia tahu semua. Itu falasi.

Inilah antara falasi yang kerap menyelingkar dalam hidup kita sehari-harian. Falasi ini boleh terbina hasil pergaulan, pembacaan atau apa sahaja yang menjadi 'guru' kita. Jadi jangan terkejut, sekalipun kita orang Islam, kita juga sesekali tergoda dengan bisikan 'yang berjanggut panjang, berserban adalah terrorist'. Ini adalah hasil permainan media. Siapa kata hanya berjanggut sahaja boleh jadi terrorist.

Falasi-falasi inilah yang banyak menyebabkan berfikir secara songsang.

No comments:

Post a Comment