Friday, January 8, 2010

Hidup Ini 1 Ujian... Mari bermotivasi diri...

Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam, semoga tercurah kepada Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat baginda seluruhnya.

Wahai insan,

Hendaklah kita selalu rela dengan ketentuan Allah, kerana kerelaan merupakan hasil daripada mahabbah dan makrifat yang paling mulia.

"Barangsiapa tidak reda dengan qadaKu dan tidak sabar atas cubaanKu, maka carilah Tuhan selainKu." (maksud Hadis Riwayat Ibnu Hibban, Thabrani, Abu Daud dan Ibnu Asakir)

Hendaklah kita selalu teguh dalam berkeyakinan, kerana keyakinan merupakan kekuatan dan keteguhan iman yang sudah mendarah daging dan menyatu dalam hati, laksana sebuah gunung yang sangat besar. Kerana itu, segala bentuk keraguan dan ujian tidak akan mampu menggoyahnya.

Rasulullah SAW bersabda (maksud) :
"Keyakinan adalah bahagian keseluruhan dari iman." (Hadis Riwayat Baihaqi)

Hendaklah kita selalu sabar, kerana sabar adalah sendi utama yang harus kita miliki selama kita hidup di dunia ini. Sabar juga mengandungi akhlak yang mulia dan keutamaan-keutamaan yang agung.

"Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita yang gembira kepada orang-orang yang sabar.
Iaitu orang-orang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, 'Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un (sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali)."
(maksud Al-Baqarah:155-156)

Hendaklah kita selalu bertawakal kepada Allah, kerana barangsiapa yang bertawakal dan pasrah kepada Allah SWT, maka dia akan dicukupi, ditolong dan selalu dikasihaniNya.

"Maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakal kepadaNya." (maksud Al-Imran: 159)

Wahai insan,

Siapa di antara kita yang berjaya mengatasi ujian Allah SWT, itulah kejayaan yang diciptakan. Ujian adalah untuk mengenalpasti siapa di antara kita yang benar-benar beriman. Ramai di kalangan kita yang apabila dihadirkan dengan ujian, dia berpatah arah.

Mahu atau tidak, setuju atau tidak, bila mana kita meletakkan diri kita dalam perjuangan pada jalan Allah, kita pastinya akan bertemu dengan ujian.

Wahai insan,

Hidup kita ini adalah perjuangan. Untuk memastikan kelangsungan hidup yang bahagia, kehidupan kita mesti bersama dengan Islam. Untuk hidup benar-benar muslim, untuk hidup bersama dengan ajaran Islam, untuk menghayati Islam, mendaulatkan Islam, kita mesti menghadapi pelbagai ujian daripada Allah SWT.

Kita tidak ada jalan shortcut dalam perjuangan hidup ini. Mesti menempuh pelbagai ujian. Jika perjuangan tidak berdepan dengan ujian, itu bukanlah perjuangan yang sebenar.

No comments:

Post a Comment